Saturday, May 26, 2012

PENGIKUTNYA MENYEMBAH LEMBU

Sikap Nabi Harun yang penyabar dan lemah lembut telah membuatkan sebahagian pengikutnya menjadi engkar dan derhaka. Mereka diketuai oleh Samiri. Samiri telah membuat patung daripada emas untuk disembah. Dia berjaya menarik ramai orang supaya mengikutnya.
Syaitan juga telah memainkan peranannya. Dia telah masuk ke dalam patung yang berupa anak lembu dan berkata-kata di dalamnya. Apabila melihat patung anak lembu boleh berkata-kata, maka ramailah yang percaya bahawa itu adalah Tuhan yang sebenarnya. Mereka segera melupakan Allah.

Perbuatan mereka itu telah ditegah oleh Nabi Harun a.s. Namun begitu, segala tegahan Nabi Harun a.s. tidak dihiraukan oleh mereka. Bukan itu sahaja, mereka telah mengugut untuk membunuh Nabi Harun a.s. jika terus mengajak mereka kembali menyembah Allah.

Sekembalinya Nabi Musa a.s. dari gunung Thursina, baginda begitu marah sekali kepada Nabi Harun a.s. Baginda telah menarik janggut Nabi Harun a.s. kerana kecewa dengan perbuatan kaumnya. Pada sangkaan Nabi Musa a.s. Nabi Harun a.s. tidak menegur dan menegah kaumnya dari menyembah berhala.

"Wahai Harun! Mengapa kamu tidak menegah mereka sehingga mereka tersesat dan menyembah patung lembu ini?" Kata Nabi Musa a.s. kepada Nabi Harun a.s. kerana tersangat marah.

"Wahai anak ibuku! Janganlah kamu menarik janggut dan kepala saya kerana marah kepada kaummu! Sesungguhnya saya takut jika kamu mengatakan sayalah yang memecah-belahkan mereka semua." Rayu Nabi Harun a.s.

Nabi Musa a.s. sedar akan kesilapannya memarahi adinya setelah baginda mengetahui akan perkara sebenar. "Mengapa kamu melakukan ini Samiri?" Tanya Nabi Musa a.s. kepada Samiri.

"Saya mengetahui apa yang mereka tidak ketahui. Saya telah mengenggam sekepal tanah bekas Jibril lalu saya lemparkan ke dalam patung anak lembu itu. Demikianlah nafsu mendesak saya melakukannya." Kata Samiri pula dengan nada sombong dan bongkak.

Nabi Musa telah menghalau Samiri dari kawasan itu. Nabi Musa a.s. telah bekerja keras mengajak kaumnya kembali menyembah Allah. Nabi Musa a.s. dan adiknya Nabi Harun a.s. telah menyuruh mereka bertaubat. Pengikutnya segera mematuhi perintah Nabi Musa dan Nabi Harun. Hiduplah mereka dengan aman sehingga keduanya wafat.

Monday, May 21, 2012

NABI HARUN MENJADI PEMANGKU ABANGNYA

Setelah kematian Firaun ditelan laut bersama pengikut dan tenteranya, Nabi Musa dan pengikutnya termasuklah Nabi Harun a.s. telah berhijrah ke Palestin untuk memulakan hidup baru.

Pengikut Nabi Musa a.s. telah semakin ramai. Baginda memohon kepada Allah untuk menjadikan adiknya sebagai pembantunya. Allah Taala telah memperkenankan doa Nabi Musa itu. Nabi Harun a.s. telah dilantik oleh Allah menjadi Nabi dan Rasul juga sebagai pembantu abangnya.

Pada suatu hari, Nabi Musa a.s. telah mendapat perintah dari Allah untuk menerima wahyu Allah di Thursina. Thursina adalah sebuah gunung. Ia terletak di negeri Mesir. Berangkatlah Nabi Musa a.s. bersama pengikutnya yang setia seramai empat puluh orang. Sebelum baginda berangkat, dia telah menyerahkan tugas ketua kepada adiknya Nabi Harun a.s. untuk mengawal dan memimpin Bani Israil.

Pergilah Nabi Musa a.s. bersama empat puluh orang pengikutnya ke Gunung Thursina. Semasa ketiadaan Nabi Musa a.s., Nabi Harunlah yang memangku tugasnya. Baginda telah menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. Ramai pengikutnya merasa sayang kepada Nabi Harun a.s. Mereka suka sekali mendengar Nabi Harun bercerita. Nabi Harun a.s. juga terkenal sebagai pencerita yang pintar.

SIKAP DAN PERIBADI NABI HARUN A.S.

Nabi Harun a.s. berbeza sekali dengan abangnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa terkenal sebagai orang yang gagah perkasa dan mempunyai tubuh yang besar. Semua orang mengeruni Nabi Musa a.s. Pendeknya, tiada siapa yang dapat menandingi kegagahan Nabi Musa a.s. pada waktu itu. Baginda bersikap tegas dan garang. Pengikutnya sentiasa patuh kepadanya .

Pernah diceritakan oleh alim-ulamak, pada suatu hari datang Malaikat Izrail menemui Nabi Musa a.s.Pada suatu hari,Malaikat Izrail ditugaskan oleh Allah untuk mencabut nyawa Nabi Musa a.s. Kedatangannya begitu mengejut sekali tanpa memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu. Sudah menjadi kelaziman bagi Malaikat Izrail untuk meminta izin kepada kekasih Allah ketika mencabut nyawa.

Ini berlainan sekali dengan Nabi Musa a.s. Kedatangan Malaikat Izrail secara mengejut telah memeranjatkan Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. terkenal garang dan gagah telah menampar Malaikat Izrail.

Malaikat Izrail pergi menemui Allah dan mengadu kepadaNya. Allah mengingatkan Malaikat Izrail agar jangan lupa meminta izin terlebih dahulu. Malaikat Izrail baru menyedari kesilapannya dan pergi menemui Nabi Musa a.s. sekali lagi dengan meminta izin terlebih dahulu sebelum mencabut nyawa baginda. Selepas itu barulah diizinkan dan mudahlah Malaikat Izrail mencabut nyawa baginda yang mulia.

Berbalik kisah Nabi Harun. Baginda berbeza sekali dengan abang kandungnya. Nabi Harun a.s. terkenal sebagai orang yang peramah, periang, lemah-lembut budi bicara dan penyabar. Baginda menjalankan amanah Allah dan abangnya dengan gigih serta sabar. Baginda juga terkenal sebagai orang yang fasih dan petah berkata-kata. Nabi Musa sentiasa menggunakan khidmat Nabi Harun a.s. ketika berbicara iaitu Firaun.

Saturday, May 19, 2012

Nabi Harun A.S

Nabi Harun a.s. adalah adik kandung Nabi Musa a.s. Baginda dilahirkan selepas Nabi Musa a.s. Waktu kelahiran Nabi Harun a.s., perintah Firaun untuk membunuh anak-anak lelaki Bani Israel telah pun tamat. Firaun merasa kedudukannya sebagai raja tidak lagi tergugat dan merasa yakin tiada lagi bayi lelaki dari keturunan Bani Israel yang dapat membunuhnya.

Bagaimana pendapat ahli nujum beta mengenai bayi lelaki yang beta mimpikan dahulu?Apakah sumpahannya telah tamat?" Titah Firaun pada suatu hari kepada ahli nujumnya.

Mengikut perkiraan patik, bayi yang akan mengugat Tuanku telah tiada lagi. Tuanku bebas sekarang." Begitulah kata ahli nujum kepada Firaun. Dengan tamatnya tempoh pembunuhan bayi lelaki dari keturunan Bani Israel, maka terselamatlah Nabi Harun a.s. dari menjdai mangsa kekejaman Firaun.

Saturday, May 05, 2012

NABI SYU'AIB A.S

Nabi Syu'aib merupakan seorang Nabi dan Rasul yang mempunyai hubungan darah dengan Nabi-Nabi yang terdahulu.Baginda dilahirkan oleh seorang wanita yang berketurunan Nabi Luth a.s.
Menurut Al-Quran,Nabi Syu'aib a.s. telah diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada suatu kaum yang tinggal di negeri Madyan.Baginda telah diutuskan oleh Allah untuk berdepan dengan suatu kaum yang keras kepala lagi degil.Kaum Nabi Syu'aib a.s. cukup terkenal dengan sikap dan sifat ini.Kaumnya terkenal dengan perbuatan penipuan sewaktu berniaga.Kebanyakannya terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan. Mereka sentiasa menipu sewaktu menimbang barang-barang dengan tujuan untuk mendapat keuntungan yang cepat dan banyak. Penipuan yang mereka lakukan sudah lama disedari oleh ramai orang,tetapi mereka  tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada kekuatan dan kedudukan.

"Apakah kamu lihat bagaimana dia menimbang barang yang kita beli?Saya dapati berat barang yang kita beli kurang daripada yang kita kehendaki.Ini satu pernipuan yang nyata."Kata salah seorang pembeli yang berhadapan dengan penipuan.

"Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kedudukan kita begitu rendah dan miskin berbanding dengan mereka.Tentu sekali bicara kita tidak akan dilayan."Jawab kawannya yang turut sama ditipu.

Nabi Syu'aib cuba membetulkan masalah dan penipuan ini dengan tekun dan sabar.Baginda sentiasa dicaci dan dihina oleh kaumnya yang masih tidak mahu beriman dan kembali ke pangkal jalan.Pengikut Nabi Syu'aib akab ditertawakan dan dihina taktala melalui hadapan kedai mereka.

Ancaman dan amaran sentiasa bermain di bibir orang-orang kafir untuk menghalang usaha dakwah yang dijalankan oelh Nabi Syu'aib.Mereka menyuruh Nabi Syu'aib membawa kembali pengikutnya ke agama datuk nenek mereka iaitu menyembah berhala.

"Wahai Syu'aib!Kami ingin memberi peringatan kepadamu.Kami meminta agar kamu berhenti menyeru daripada agama dan perkara yang kami tidak sukai.Jika kamu masih enggan dan tidak memberi perhatian pada amaran dan ancaman kami ini,akan kami halau kamu semua keluar dari negeri ini ataupun akan kami paksa kamu semua kembali kepada agama asal kamu."Kata salah seorang dari golongan kafir.

"Wahai kaumku sekelian!Apakah kamu tergamak menghalau kami dari negeri dan tanah tumpah kami ini.Tetapi ingatlah kami semua tidak akan berganjak dari usaha murni kami.Macam mana kami akan mengikut agama kamu sedang kami sangat benci kepada agama dan perbuatan kamu?Kami akan berdusta kepada Tuhan kami sekiranya kami menuruti agama kamu yang sesat dan menyesatkan.Tidak patut kami mengikut kamu kecuali apabila Allah mengkehendaki kami melakukan sedemikian.Sesungguhnya Tuhan kami itu Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.Dan kepadaNyalah kami menyerahkan segenap jiwa raga kami dan bermohon agar dibukakan kebenaran antara kamu."Hujah Nabi Syu'aib kepada kaumnya.

Kedegilan mereka tidak dapat dilunturkan oleh hujah Nabi Syu'aib yang mereka rasakan terlalu menghina agama mereka dan berhala-berhala mereka.Mereka bukan sahaja menolak ajaran Nabi Syu'aib malah menghina agama yang dibawa oleh Nabi Syu'aib dan Allah.

Cercaan dan penghinaan orang kafir terhadapnya semakin hari semakin melampau dan keterlaluan.Namun baginda tetap sabar dan semakin tekun beribadat kepada Allah.

Pada suatu hari ketika Nabi Syu'aib melalui tempat yang biasa dilaluinya terdapat sekumpulan kaumnya telah menghalang perjalanan.Baginda telah diberi amaran agar segera menghentikan seruan yang mereka benci.

"Sudah berapa kali kami beri amaran kepadamu agar segera memberhentikan cakap-cakapmu yang sia-sia lagi tidak berguna.Kamulah orang yang telah memecah belahkan kaum dan penduduk negeri ini dengan kata-kata gila kamu."Tengkin pemuda kafir tersebut.

"Sudah berapa kali juga saya katakan bahawa saya tidak sesekali meninggalkan seruan dan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepada saya.Biar berapa banyak amaran dan ancaman yang kamu berikan kepada saya,tetap saya berdiri teguh dengan tujuan asal saya.Saya serahkan nyawa dan untung nasib saya kepada Allah kerana Dia-lah yang berhak atas diri saya dan diri kamu sekalian."Tegas Nabi Syu'aib.

"Apa Tuhanmu boleh lakukan kepada kami jika kami masih terus mengingkari dan menentang NabiNya?Dapatkah engkau menurunkan seksa kepada kami?Jika benar, buatlah sekarang agar kami dan kamu sendiri saksikan akan kebenaran dan kebatilan kamu."Kata pemuda yang sombong lagi bongkak serta mencabar kekuasaan Allah.

Nabi Syu'aib pun berdoa kepada Allah agar memperkenankan doa mereka yang beriya-iya benar untuk melihat dan merasai bagaimana perit dan seksa azab Allah yang bakal mereka terima nanti.

Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihi hambaNya yang Dia sayangi. Permintaan Nabi Syu'aib dan hajat kaum yang mungkar diperkenankan oleh Allah s.w.t.

Cuaca yang pada mulanya nyaman dan tenang telah bertukar menjadi hangat dan panas,Matahari bagaikan berada begitu hampir dengan mereka,Begitu terik sekali dan kehausan yang mereka rasai tidak terkira lagi.Mereka masih tidak mempercayai bencana yang mereka terima adalah hasil dari doa Nabi Syu'aib.

Bencana yang datang secara tiba-tiba menjadi semakin pelik kerana kepanasan dan kehausan hanya dirasai oleh kaum yang menentang ajaran Nabi Syu'aib sahaja tetapi pengikutnya tidak langsung menerima nasib yang seburuk itu.

Kaum yang ingkat dan ditimpa bencana itu berada dalam kepanasan dan kehausan dan cuba untuk melepaskan diri masing-masing.Mereka cuba meminum seberapa banyak air yang boleh untuk menghilangkan kehausan yang amat sangat.Tetapi hairannya,walau sebarapa banyak air yang mereka minum tetapi tidak juga dapat menghilangkan penderitaan mereka.Mereka mula menyedari akan balasan dan azab Allah, tetapi sayang semuanya terlambat.

Mereka beramai-ramai melarikan diri ke hutan kerana pada sangkaan mereka di sana udaranya sejuk dan tidak sepanas di tempat mereka."Ayuh!Kita pergi ke hutan.Moga-moga di sana tidak panas."Kata ketua kaum kafir.

Mereka menuruti ketua mereka dengan harapan yang tinggi menggunung.Azab Allah tidak mengenali tempat dan sesiapa jua.Udara panas dan kehausan sentiasa mengekori mereka.Harapan mereka kembali berkecai dan hancur.Nasib mereka tidak berubah.Mereka tertanya sesama sendiri akan nasib yang mereka terima.Mereka mula tercari-cari Nabi Syu'aib agar menarik balik hukuman mereka terima.Namun pintu untuk mereka bertaubat telah tertutup rapat.Semuanya sudah terlambat.Nabi Syu;aib dan pengkutnya berada di dalam lindungan Allah dan berada dalam suasana senang dan bahagia.

Udara yang panas masih berterusan.Perubahan berlaku bagitu mendadak.Awan pula mula bertukar menjadi gelap dan mendung.Orang-orang kafir mula bersorak kegirangan kerana pada sangkaan mereka tempuh hukuman telah tamat.Mereka beramai-ramai pergi munuju di bawah awan yang mendung dan gelap itu.Sangkaan mereka meleset.Awan hitam tiba-tiba membakar sekelian kaum Nabi Syu'aib yang ingkar dan degil sehingga mereka berterbangan.Begitu dahsyat sekali hukuman yang mereka terima.Kemusnahan yang menimpa orang-orang yang zalim itu telah menamatkan penderhakaan dan penentangan terhadap Nabi Syu'aib dan pengikutnya.

Setelah melihat apa yang terjadi,maka berkatalah Nabi Syu'aib kepada kaumnya:"Wahai kaumku!Sesungguhnya aku sudah menyampaikan kepadamu seruan Tuhan dan aku telah berikan nasihat-nasihat kepada kamu semua.Beginilah balasan bagi kaum yang kafir lagi derhaka."

Friday, April 06, 2012

NABI ZULKIFLI

Nama Nabi Zulkifli a.s. sebenar ialah Basyar.Memang menjadi kebiasaan orang-orang dahulu-kala dan orang-orang Arab memberi nama samaran bagi menggantikan nama yang sebenar.Nama samaran ini lebih terkenal di kalangan mereka berbanding dengan nama yang sebenar.Begitu juga dengan Nabi Zulkifli a.s.Panggilan Basyar tidak begitu dikenali kerana kurang digunakan berbanding dengan nama Zulkifli.

Zulkifli membawa maksud,"Orang yang sanggup."Mengikut cerita,di zaman Nabi Zulkifli a.s. ada seorang raja yang sangat adil dan jujur memerintah negeri.Raja itu cukup terkenal di kalangan rakyatnya dan begitu disenangi dan disayangi.Bukan itu sahaja baginda juga terkenal di negeri-negeri lain dan ramai sekali penduduk di merata pelusuk negeri berhijrah dan bermastautin ke negeri tersebut.Tidak hairanlah negeri yang diperintah oleh raja yang adil ini aman dan makmur.

Para pedagang yang datang berdagang di situ turut kagum dengan undang-undang serta keramahan penduduk.Mereka gembira dan sentiasa memuji keadaan di negeri tersebut."Alangkah bertuahnya jika di negeri kita juga mempunyai raja yang seadil ini.Kita tidak perlu takut dan berpecah-belah untuk melindungi keluarga dan harta benda kita."Kata salah seorang peniaga yang merasa kagum dan takjub.

"Betul kata awak itu!Walaupun kita berdagang di sini tetapi kita seolah-olah berada di negeri tumpah darah kita sendiri....."Celah peniaga lain menyokong pendapat sahabatnya.

Namun begitu ada beberapa masalah yang merunsingkan sejak dahulu yang masih tidak dapat diselesaikannya iaitu tentang pengganti raja.Walaupun baginda mempunyai waris yang dapat menggantikan takhtanya tetapi baginda merasakan ia tidak sesuai untuk memikul tugas yang amat berat ini.Baginda begitu menginginkan seorang pengganti yang dapat memerintah dengan adil dan amanah serta jujur ketika menjalankan tugas.Selama ini dirasakan tiada calon yang layak untuk diserahkan tampuk pemerintahan.

Berita kerunsingan raja yang disayangi itu cepat tersebar di kalangan rakyat jelata.Ramai rakyat menawarkan diri tetapi akhirnya terpaksa menolaknya kerana tidak dapat menjalankan tugas sebagaimana yang diinginkan.Mereka sedar sebagai seorang raja yang bertakwa kepada Allah dan sentiasa menjalankan amanah Allah s.w.t. tentu sekali menginginkan orang yang setaraf atau lebih takwa daripadanya.Tinggallah persoalan yang tidak terjawab ini berlanjutan sehingga beberapa lama.

Pada suatu hari,raja yang tua lagi adil itu menghimpunkan sekalian rakyatnya di satu tanah lapang.Rakyat yang sentiasa patuh dan hormat kepada rajanya segera menjalankan suruhan raja mereka.Mereka telah datang beramai-ramai sejak pagi-pagi lagi untuk mendengar amanat dan perintah raja,agar mereka dapat melaksanakannya mengikut kemampuan yang terdaya.

Setelah rakyatnya berhimpun,raja pun bertitah,"Wahai sekalian rakyat beta!Sesungguhnya tujuan beta memanggil kamu ke sini dan berhimpun beramai-ramai adalah untuk menyelesaikan masalah yang telah lama beta tanggungi.Beta terpaksa memutuskan hari ini juga berdasarkan usia beta yang telah semakin tua dan uzur ini.Sebelum beta meninggal dunia,ingin sekali beta melihat pengganti beta."

"Sebelum beta menyerahkan tugas yang amat berat ini,beta akan mengemukakan beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh bakal pengganti beta.Jika dia gagal memenuhi syarat tersebut,maka terpaksalah beta menundakan perlantikan ini pada suatu masa yang lain pula.Itu pun kiranya beta dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t."Kata raja itu kepada rakyatnya.

"Apa syaratnya,Tuanku?"Salah seorang rakyatnya yang berada di hadapan sekali mengemukakan pertanyaan.Raja itu menyambung,"Syarat-syarat yang mesti dipenuhi oleh pengganti beta ialah dia mesti sanggup berpuasa di siang hari serta beribadat pada malam harinya pula.Dia juga tidak boleh menyimpan perasaan marah,apalagi menyakiti rakyatnya.Nah!Tampillah ke hadapan wahai rakyat beta,jika kamu sanggup memenuhi syarat-syarat tersebut,"titah raja tersebut.

"Adakah kamu sanggup berpuasa di siang hari dan beribadat pada malamnya pula serta tidak marah-marah kepada rakyatnya.Jika kamu sanggup,akan beta serahkan sekarang juga takhta beta?"Soal raja berulang kali lagi menguatkan lagi pengakuan pemuda yang begitu berani itu.

"Saya sanggup menerima tugas yang mencabar lagi berat ini.Percayalah kepada kemampuan saya.Saya sanggup memikul dan melaksanakan segala syarat yang Tuanku kemukakan."Ulang Basyar bagi menguatkan pengakuan dan penerimaanya sebentar tadi.

"Adakah orang lain yang sanggup menerima syarat yang beta kemukakan?"Tanya raja itu kepada rakyatnya jika masih lagi terdapat orang yang sanggup memikul tanggungjawab tersebut.Suasana kembali sunyi kerana masing-masing menunggu kemunculan pemuda yang sanggup menyahut cabaran raja dan mengikuti jejak Basyar.

"Ada sesiapa lagi sanggup?"Tanya raja berulang kali.Suasana yang tenang menjadi semakin sunyi.Tiada lagi yang berani tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran raja itu.Hanya Basyar seorang sahaja yang menyatakan kesanggupan untuk menerima syarat-syarat yang diberikan.Akhirnya raja tiada pilihan lain kecuali menyerahkan pucuk pimpinan negeri kepada Basyar.

"Baiklah!Mulai  hari ini beta serahkan takhta beta kepadamu dan pimpinlah negeri ini sebaiknya."Kata raja yang telah sedia melepaskan singgahsananya.Demikianlah kisah Basyar,putera Nabi Ayub a.s. menjadi seorang raja dan mulai dari saat itu,beliau digelar Zulkifli yang bererti,"Orang yang sanggup memegang janji."

Sebagai seorang Rasul yang dipilih oleh Allah Taala dan bertepatan sekali beliau dilahirkan dalam keluarga utusan Allah,layaklah dia memikul tugas sebagai seorang pemimpin dan penyeru kepada jalan yang lurus.Kesabaran yang dimiliki oleh ayahandanya iaitu Nabi Ayub a.s. dipusakai oleh Nabi Zulkifli a.s.Tidak hairanlah beliau mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan adil dan bijaksana.Di dalam Al-Quran sendiri ada menceritakan akan kesabaran Nabi Zulkifli.

Semenjak ditabalkan menjadi raja,Nabi Zulkifli berjaya melaksanakan segala janjinya kepada raja yang menyerahkan takhtanya dahulu.Segala rakyat jelata memuji dan menghormatinya malah lebih daripada raja sebelumnya.Mereka merasa gembira kerana pengganti yang menaiki takhta tidak kurang hebatnya dan memenuhi cita-rasa mereka.

"Alangkah bertuahnya negeri kita ini!Walaupun kita kehilangan seorang raja yang adil lagi jujur,tetapi kita dikurniakan pula pengganti yang melebihi dari baginda raja.Bersyukur kita kepada Allah kerana mengekalkan kenikmatan yang tidak terhingga banyaknya kepada kita."Kata salah seorang penduduk di situ.

Nabi Zulkifli,walaupun telah dibatalkan menjadi raja,namun imannya kepada Allah tidak pernah luntur malah semakin tekun dia beramal ibadat.Pada siang harinya,baginda berpuasa dan menjalankan urusan pemerintahan dengan teratur dan berkesan tanpa sedikitpun merasa bosan dan menyesal.Pada waktu malamnya dia giat beribadat kepada Allah.Waktu tidurnya cuma seketika dan selebihnya dihabiskan dengan beramal ibadat.

Pada suatu hari Iblis telah mendatangi baginda dengan tujuan untuk menguji kesabaran dan keteguhan janji baginda terhadap syarat-syarat yang telah baginda setujui dengan raja yang terdahulu.Salah satu syarat daripada raja tersebut ialah Nabi Zulkifli tidak boleh marah-marah kepada rakyatnya apa lagi ketika rakyatnya datang mengadu hal dan meminta bantuan.Kesabaran adalah perlu.

Iblis yang sentiasa mengoda manusia telah menyamarkan diri sebagai seorang manusia."Wahai Nabi Allah!Saya datang adalah untuk mengadu bahawa harta-bendaku telah dicuri orang."Kata Iblis memulakan bicaranya.

"Wahai anak muda!Awak datang terlalu lewat kerana tepat kena pada waktu tidur saya.Bagaimana pun janganlah awak susah kerana masalah awak ini bolehlah diadukan kepada pembantu saya.Semoga dia akan dapat menyelesaikan masalah yang sedang awak hadapi."Kata Nabi Zulkifli kepada Iblis yang sedang menyamar.

"Tapi Nabi Allah!Saya mahu masalah ini diselesaikan oleh Nabi Allah sendiri.Saya tidak percaya dengan pembantumu dan tidak sekali-sekali meminta dia membantu saya."Jawab Iblis yang berharap Nabi Zulkifli akan marah dan melanggar janjinya.

"Apa hajat awak yang sebenar?"Tanya Nabi Zulkifli meminta penjelasan."Sepertimana yang telah saya ceritakan,salah seorang rakyatmu dan datang ke sini untuk mengadu hal mengenai kehilangan harta benda saya kerana dicuri orang.Saya benar-benar berharap agar dapat membantu saya menyelesaikan masalah ini."Jawab Iblis bagi menguatkan hujahnya dan membangkitkan kemarahan Nabi Zulkifli.

"Kan sudah saya katakan bahawa saya tiada masa untuk melayani awak sekarang,kerana waktu tidur saya yang sedikit terganggu?Biarlah pembantu saya melaksanakannya kerana tiada perbezaan antara dia dan saya.Apa yang penting,masalah awak selesai dan awak dapat kembali harta yang dicuri itu."Kata Nabi Zulkifli menenangkan kerunsingan Iblis yang disangkanya manusia.

Iblis tetap berkeras dan tidak mahu melepaskan Nabi Zulkifli tidur.Pada anggapannya,jika Nabi Zulkifli marah dan tidak dapat tidur tentu sekali ibadatnya akan terganggu dan pasti akan merasa mengantuk.Pada siangnya tentu baginda tidak dapat menjalankan ibadat puasa dengan sempurna dan pasti pula akan mencuaikan urusan pemerintahan.

Allah sentiasa bersama dengan hambaNya yang disayangi apatah lagi dengan seorang utusanNya.Usaha Iblis yang terkutuk berjaya ditepis dengan baik dan bijaksana tanpa menimbukan perasaan marah di hati baginda.

Nabi Zulkifli akhirnya mengetahui bahawa orang yang datang pada waktu malam itu ialah Iblis musuh Allah Taala dan musuh sekalian manusia.Baginda tetap bersyukur kepada Allah kerana terselamat dari tipu daya Iblis.

Kisah sebuah negeri yang beragama kafir sedang bersiap sedia untuk memerangi negeri Nabi Zulkifli.Berita yang begitu hangat ini cepat tersebar luas di kalangan rakyatnya.

"Wahai Tuanku!Apakah persediaan kita untuk menghalang kemaraan tentera musuh dari menyerang dan memasuki negeri ini sedangkan kita belum bersedia untuk berperang?"Tanya pembantu Nabi Zulkifli.

"Perintahkan semua hamba rakyat beta agar dapat berkumpul di kawasan tanah lapang untuk beta perintahkan mereka berperang dan mempertahankan negeri ini.Beta akan turut serta berperang."Jawab Nabi Zulkifli.

Kawasan lapang yang kebiasaanya sunyi serta merta telah bertukar riuh rendah bagaikan peperangan sudah bermula.Penuh sesaklah kawasan yang lapang itu dengan ribuan manusia yang datang beramai-ramai untuk mendengar amanat dan perintah dari raja mereka.

"Apakah yang Tuanku mahukan dari kami sekaliannya?"Tanya salah seorang rakyat."Kami sedia melaksanakan segala perintah Tuanku bagi membalas segala kebaikan dan keadilan Tuanku."Kata hamba rakyat yang lain bagi melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Tujuan beta mengumpul kamu sekelian adalah untuk memberitahu keadaan kita yang genting dan sukar ini.Sebagaimana yang telah kamu semua maklum,negeri kita akan diserang oleh musuh dan mereka sekarang ini sedang bersiap sedia untuk menyerang kita.Beta benar-benar mengharapkan kamu semua berjihad bagi mempertahankan agama Allah dan negeri ini.Apakah kamu semua bersedia berperang bersama-sama beta?"Tanya Nabi Zulkifli kepada rakyatnya.

Malamg sekali bagi Nabi Zulkifli tidak seorang pun daripada rakyatnya yang sanggup menghadapi ujian Allah itu.Inilah yang dikatakan cubaan Allah yang amat berat.Tidak mungkin dia berperang seorang diri tanpa bantuan rakyatnya.Dia juga sedar Allah akan menolongnya walaupun tanpa rakyat jelata,namun dia tetap berusaha mengajak rakyatnya berperang dan berjihad.

"Wahai Tuanku!Janganlah Tuanku menyuruh kami berperang kerana kami takut akan kematian.Kami mahu hidup lebih lama lagi.Tetapi tidak usahlah Tuanku bimbang kerana kami akan tetap bersama Tuanku asalkan kami mendapat janji daripada Allah akan keselamatan jiwa raga kami.Jika kami telah mendapat kepastian,barulah kami sanggup berperang."

"Mohonlah kepada Allah akan keselamatan kami."Balas yang lain."Jangan bimbang!Allah pasti akan mengabulkan permintaan Tuanku kerana Tuanku merupakan Nabi dan RasulNya."Nabi Zulkifli menerima semua itu dengan hati yang sabar.Dia mengerti hanya Allah sahaja tempatnya mengadu dan meminta pertolongan.Baginda kesal dengan sikap rakyatnya yang takut mati dan tidak berani berjihad dan gugur syahid.

Dengan berat hati,baginda pun memohon kepada Allah Taala."Ya Allah!Aku telah menyampaikan seruanMU kepada mereka dan menyuruh mereka berperang.Tetapi mereka mengemukakan permohonan itu."Kemudian Allah s.w.t. pun berfirman kepada Nabi Zulkifli yang bermaksud:"Wahai Zulkifli!Aku (Allah) telah mengetahui akan permintaan mereka dan Aku mendengar doamu.Semua itu akan Kukabulkan."

Berperanglah Nabi Zulkifli dengan rakyatnya menentang kaum kafir yang berniat jahat.Dengan izin Allah,mereka telah mencapai kemenangan tanpa seorang pun gugur.




Friday, March 16, 2012

BERAKHIR PENDERITAAN NABI AYUB

Hidupnya yang sebatang kara tidak menggoncangkan imannya.Dia semakin tekun beribadat.Pada saat dia merasakan kemuncak penderitaannya,lalu berbisiklah dia kepada Allah untuk mengadu nasib.
"Ya Allah!Kuterima penderitaan ini dan Engkaulah yang lebih pengasih lagi penyayang."Lalu Allah berfirman menyahut panggilan sendu hambaNya yang dikasihi:

"Hai Ayub!Hentakkanlah kakimu ke atas tanah!Nescaya dari dalam tanah itu akan terpancar air jernih lagi menyegarkan.Minumlah air itu.Dan mandilah dengan air itu agar engkau sembuh dari penyakitmu."

Nabi Ayub melakukan sebagaimana yang diperintahkan.Dengan tiba-tiba dia dapat merasakan perubahannya.Badannya kembali sediakala.

Setelah meninggalkan Nabi Ayub,Rahmah,isterinya mula merasa menyesal dan sedih.Dia mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan suaminya.Dia sanggup menerima apa sahaja hukuman daripada suaminya.

Namun alangkah hairannya ketika dia sampai ke rumah.Dia dapati suaminya telah sembuh seperti sediakala.Kegembiraannya tidak dapat disembunyikan.Nabi Ayub menyambut kepulangan isterinya dengan perasaan gembira.Dia mula teringat janjinya untuk memukul Rahmah seratus kali.Allah telah memerintahkan Nabi Ayub memukul dengan jerami gandum serta perlahan tanpa mendatangkan mudharat pada isterinya.

Setelah semuanya kembali aman,mereka berdua mengambil keputusan kembali ke kampung halaman dan memulakan hidup baru.Iblis dan pengikutnya terpaksa mengaku kalah kerana gagal meruntuhkan keimanan Nabi Ayub.
Nabi Ayub dan isterinya hidup bahagia disamping anak-anak yang dikurniakan Allah sebagai ganti yang wafat.Hartanya semakin bertambah seperti dahulu.

Friday, March 09, 2012

NABI AYUB MENGALAMI PENYAKIT YANG MENJIJIKKAN

Nabi Ayub a.s menjalani penghidupannya seperti biasa walaupun tanpa tempat tinggal yang selesa dan tawa-tangis anak-anaknya.Namun begitu,dia tetap tabah menghadapi semua dugaan.Pada suatu hari dia merasa kelainan daripada biasa.Dia merasakan ada yang tidak kena pada tubuh badannya.Dengan tiba-tiba timbul kudis di merata badannya.

"Sungguh saya tidak mengerti mengapa tiba-tiba seluruh tubuh menjadi sakit-sakit begini serta ditumbuhi kudis-kudis yang begini banyak?"Kata Nabi Ayub a.s kepada isterinya.
Isteri Nabi Ayub yang kebingungan segera memanggil doktor untuk mengubati suaminya namun semuanya gagal mendatangkan kesan.Berita penyakit ganjil Nabi Ayub tersebar luas.Mereka merasa bimbang penyakit Nabi Ayub a.s. akan merebak dan menjangkiti mereka.Mereka telah sepakat untuk mengusir Nabi Ayub serta isterinya dari kampung itu.

Nabi Ayub dan isterinya telah dihalau dari kampung tersebut.Mereka telah membawa diri ke kampung yang lain.Sampailah mereka ke satu kampung yang begitu asing kepada mereka.Kebetulan di situ mereka menjumpai sebuah rumah kosong yang ditinggalkan.Tinggallah Nabi Ayub di situ bersama isterinya.

Isterinya mengambil tugas untuk mencari rezeki menggantikan Nabi Ayub yang keuzuran.Dia bekerja di kilang roti.Dengan pekerjaan ini dapatlah dia menyara hidup suaminya yang tercinta.Takdir telah menentukan mereka masih diuji.Majikannya telah memberhentikan pekerjaannya.Alasan yang diberi ialah kerana penyakit suaminya merbahaya.

Sebagai isteri yang taat kepada suami dan bersedia berkhidmat untuknya,dia tidak putus asa.Baginya dia mesti membawa pulang tiap-tiap hari makanan buat suaminya.Dia telah memberikan pengorbanan yang besar.Rambutnya telah dijual bagi mendapatkan sebuku roti.Hilanglah kecantikan rambutnya yang selama ini dibanggakan.Namun dia tidak menyesal,malah berbangga dapat berkhidmat untuk suaminya.

Godaan Iblis yang tidak putus-putus telah berjaya meruntuhkan kesabaran isteri Nabi Ayub."Kalau harta benda kita tidak musnah dan anak-anak masih hidup,tentu kita tidak menderita sebegini."Kata isterinya pada suatu hari.

Nabi Ayub terkejut dengan kata-kata isterinya.Baginya,orang yang tidak sabar,tidak layak hidup di sampingnya.Dia telah menghalau isterinya dan berjanji sekiranya dia sembuh kembali dan dipukul isterinya seratus kali.

Keluarlah isterinya dengan berat hati dan menyesal atas kata-katanya tadi.Tinggallah Nabi Ayub keseorangan di pondok buruk itu dan menyerahkan semuanya pada Allah s.w.t.